fb fb fb fb fb

'WIPO Alert' kesan laman sesawang langgar hak cipta

Foto FB Armizan Mohd Ali

GENEVA, 13 September- Malaysia menyertai pangkalan data 'WIPO Alert' bagi membantu agensi penguatkuasaan memuat naik dan mengakses senarai laman sesawang yang dikenal pasti melanggar hak cipta.

Menurut Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, penyertaan itu menjadi langkah penting ke arah memperkasakan penguatkuasaan harta intelek negara dalam era digital.

"Inisiatif ini juga memudahkan proses dan tindakan sedia ada dalam memerangi cetak rompak digital serta kandungan pengiklanan tanpa kebenaran.

"Sebanyak 4,084 sekatan laman sesawang telah dilaksanakan oleh Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dengan kerjasama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO)," katanya menerusi kenyataan.

Menerusi penyertaan itu, Malaysia kini berada di barisan hadapan bersama-sama 14 negara lain yang telah menyertai platform berkenaan.

Terdahulu, Armizan menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Persefahaman (LoU) di antara Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) bertempat di ibu pejabat WIPO di Geneva, Switzerland.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM