KUALA LUMPUR, 3 Oktober- Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Pahang (WI) bakal menjadi tuan rumah Persidangan Persatuan Wanita Desa Sedunia Ke-30.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, persidangan itu berlangsung pada 18 hingga 25 Mei tahun hadapan di Putrajaya.
"WI negeri Pahang akan menjadi tuan rumah pada Persidangan Persatuan Wanita Desa Sedunia Ke-30 yang diadakan pada bulan Mei tahun hadapan.
"Sepatutnya persidangan dunia ini pada tahun ini, kerana Covid tahun lepas dan kita tidak tahu bila 'lockdown' dan masalahnya apabila semua delegasi dari seluruh dunia akan datang...jadi kita tidak tahu di mana yang nak kena kuarantin, terpaksa ditangguhkan pada tahun yang akan datang," titah baginda.
(Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah)
Bagindah bertitah demikian pada sidang media khas bersama rakan strategik di Istana Negara, di sini hari ini.
WI Pahang telah membida di persidangan ke-28 di Warwick University, United Kingdom dan persidangan ke-29 di Melbourne, Australia untuk menjadi tuan rumah pada tahun hadapan.
Tunku Hajah Azizah yang juga Tuanku Pengerusi WI Pahang turut bertitah, persidangan ke-30 itu akan disertai 500 peserta daripada kalangan ahli Persatuan Wanita Desa Sedunia, ACWW.
Selain sesi persidangan dan perbincangan, program lain yang akan diadakan adalah lawatan sehari ke Kompleks Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia, Gombak; Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Kepong; Institut Kraf Negara, Rawang dan Universiti Multimedia di Cyberjaya.