
PUTRAJAYA, 1 April – Komitmen dan penglibatan aktif Malaysia dalam isu kesihatan antarabangsa, serta peranan konstruktif dalam memperkukuh kerjasama global berteraskan solidariti mendapat penghargaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
- Lawatan rasmi mencerminkan hubungan kerjasama strategik Malaysia-WHO, memperkukuh kesiapsiagaan dan daya tahan sistem kesihatan.
- Rundingan Akses Patogen dan Perkongsian Manfaat memberi kesan positif langsung kepada pencegahan, kesiapsiagaan dan respons kesihatan awam.
- Kerjasama turut memperkukuh sistem amaran awal dan rundingan pindaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa serta Perjanjian Pandemik.
- Usaha memastikan pengesanan dan respons lebih pantas bagi meminimumkan gangguan ekonomi serta kelangsungan sosial rakyat.
Penghargaan itu dizahirkan Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus semasa lawatan rasmi ke Malaysia.
Lawatan tersebut mencerminkan hubungan kerjasama erat, strategik dan berterusan antara Malaysia dengan badan dunia itu dalam memperkukuh kesiapsiagaan, serta daya tahan sistem kesihatan.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, kunjungan itu juga membawa kesan positif langsung kepada rakyat Malaysia dari segi pencegahan, kesiapsiagaan dan respons kesihatan awam, khususnya melalui rundingan Akses Patogen dan Perkongsian Manfaat bawah Kumpulan Kerja Antara Kerajaan yang sedang berlangsung.
Kerjasama antara Malaysia dengan WHO turut memperkukuh kesiapsiagaan negara dan sistem amaran awal terhadap ancaman penyakit berjangkit menerusi rundingan pindaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa serta Perjanjian Pandemik.
“Usaha ini memastikan Malaysia lebih pantas mengesan dan bertindak balas terhadap sebarang krisis kesihatan masa hadapan, sekali gus meminimumkan gangguan kepada aktiviti ekonomi dan kelangsungan sosial rakyat,” menurut kenyataan berkenaan.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan penglibatan aktif Malaysia pada peringkat WHO adalah bagi memastikan suara rakyat negara ini terus diberi perhatian dalam landskap kesihatan global.
Menurut beliau, Malaysia kekal komited untuk terus bekerjasama dengan WHO bagi memastikan sistem kesihatan negara sentiasa berada pada tahap tertinggi, inklusif dan bersedia mendepani sebarang cabaran kesihatan global demi kesejahteraan rakyat.