TEMERLOH, 27 Oktober – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong telah dilantik sebagai penasihat pelaburan masyarakat dan syarikat Cina di Malaysia, sebagai pengiktirafan terhadap peranannya membawa pelabur dari China ke dalam industri halal Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata pelantikan itu akan membantu beliau yang juga merupakan Pengerusi Majlis Halal Malaysia.
Pelantikan rasmi diumumkan ketika perasmian perhimpunan agung tahunan MCA di Wisma MCA, Kuala Lumpur minggu lalu, susulan persefahaman antara kedua-dua pemimpin ketika lawatan rasmi ke Shanghai, China.
“Berdasarkan latar belakang dan pengalaman beliau, Wee akan membuat tindakan susulan terhadap senarai pelabur yang berminat melabur dalam industri halal,” kata Ahmad Zahid selepas Konvensyen Barisan Nasional Negeri Pahang 2024 di Dewan Tun Razak, di sini.
Tambah Ahmad Zahid, produk halal yang dieksport juga mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk pensijilan halal, selain Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC).