fb fb fb fb fb

WBB: Pegawai perubatan perlu diberi waktu rehat mencukupi

Bekerja dalam tempoh yang terlalu panjang boleh menjejaskan kesihatan pegawai/Foto Facebook KKM

KUALA LUMPUR, 18 Januari - Pegawai perubatan perlu diberi waktu rehat yang mencukupi bagi memastikan mereka dapat memberikan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik kepada masyarakat, menurut Pakar Kesihatan Awam, Dr. Hanafiah Bashirun.

Tambah beliau, dengan pelaksanaan Waktu Bekerja Berlainan (WBB) tidak akan menjejaskan kualiti perkhidmatan hospital kerajaan sekiranya dilaksana dengan teliti.

Beliau menegaskan bahawa pegawai perubatan di hospital kerajaan sering bekerja secara berterusan selama 24 jam semasa on-call, diikuti dengan waktu kerja tambahan keesokan harinya.

"Keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan mereka kerana bekerja dalam tempoh yang terlalu panjang. Ini mekanisme terbaik dalam menjaga kebajikan pegawai perubatan khususnya dari sudut kesihatan mereka.

"Amat penting untuk kita mengurangkan beban atau 'burnout' akibat jangka masa kerja yang terlalu lama. Dengan ini, pegawai perubatan atau pakar boleh berehat, menyegarkan fikiran, dan memberi fokus penuh dalam merawat pesakit di hospital kerajaan," katanya ketika dihubungi Berita RTM.

Langkah ini, tambahnya, bukan sahaja penting untuk kesejahteraan petugas kesihatan tetapi juga bagi memastikan kualiti rawatan yang diberikan kepada pesakit kekal pada tahap terbaik.

GRACE AISYAH KEDAYAN