fb fb fb fb fb

Waspada, 'scammer' cekap manfaatkan musim perayaan - Fahmi

Fahmi Fadzil/RTM

KUALA LUMPUR, 19 Januari- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap kegiatan penipuan atau 'scam' terutama semasa musim perayaan termasuk menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata sindiket penipuan sering memanfaatkan musim perayaan untuk memperdaya mangsa khususnya warga emas.

"Pada waktu tertentu 'scammer' (penipu) sangat cekap dalam melihat trend dalam kalangan pengguna. Contohnya semasa musim Haji, mereka akan menyasarkan bakal haji dan semasa Tahun Baharu Cina, mereka akan menyasarkan mangsa yang menyambut perayaan.

"Pesanan saya adalah sentiasa berwaspada," ujar Fahmi.

Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa memeriksa maklumat yang diterima dan tidak mudah percaya dengan panggilan telefon atau mesej yang mencurigakan.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina di Pasar Pagi Taman Seri Sentosa di sini hari ini.

Lebih 700 keluarga berbangsa Cina di kawasan Lembah Pantai menerima sumbangan berbentuk baucar bernilai RM150 yang disampaikan sendiri oleh beliau.

"Sumbangan berbentuk baucar ini boleh digunakan di beberapa pasar raya di kawasan ini (Lembah Pantai). Saya berharap ia dapat meringankan beban dan menceriakan suasana sempena Tahun Baharu Cina," katanya.

Penerima sumbangan yang ditemui turut menzahirkan rasa terima kasih mereka atas pemberian tersebut.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada YB (Yang Berhormat) atas baucar RM150. Saya boleh beli minuman isotonik dan barangan lain untuk perayaan. Terima kasih," kata Lim Ai Poi.

"Saya guna (baucar) beli barang makanan. Terima kasih banyak," jelas Wong Chun Nan. Yong Yun Hwa pula menyatakan, "Saya mengucapkan terima kasih kepada YB yang memberi baucar Tahun Baharu Cina kepada keluarga kami untuk simpanan. Terima kasih banyak, YB."

SITI AISHAH MD ISA