fb fb fb fb fb

Waspada dengan ubat tidak berdaftar, kosmetik tidak bernotifikasi

Foto RTM

GEORGE TOWN, 6 Ogos - Orang ramai perlu berwaspada dengan penjualan ubat perangsang seks tidak berdaftar serta kosmetik tidak bernotifikasi di alam maya.

Penjualan produk perangsang seks serta kosmetik tidak bernotifikasi yang meluas ketika ini boleh mengancam kesihatan penggunanya sekiranya kesahihan produk ini tidak terbukti.

"Masyarakat boleh menyemak status kesahihan atau pendaftaran sesuatu ubat atau kosmetik tidak bernotifikasi yang kita nyatakan, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) atau spab.gov.my, kita boleh semak berkaitan perkara itu. Kami amat mengalakkan pembeli-pembeli ubat-ubatan semak dulu sebelum membeli," kata Pengarah Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia Mohd Zawawi Abdullah dalam sidang media bersama-sama Pengarah Kesihatan Negeri, Dato Dr Fazillah Shaik Alllaudin, di sini.

Beliau berkata, hasil operasi Legasi 2.0 pada 30 Julai lalu pihaknya telah mengambil tindakan terhadap 17 premis disyaki lokasi mengeluarkan ubat-ubatan perangsang seks yang akan dipasarkan melalui media sosial.

Dalam operasi itu 19 individu berusia antara 20 hingga 50 tahun ditahan buat sementara.

 Sebanyak 463 jenis produk dan tujuh peranti digital dirampas dan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM3.9 juta.

 Kesalahan memiliki racun tujuan jualan tanpa lesen racun boleh dihukum bawah Seksyen 13 (a) Akta Racun 1962 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah menurunkan 740 iklan di media sosial yang menjalankan aktiviti jualan ubat tidak berdaftar dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi  Multimedia Malaysia (MCMC).

Untuk menyemak kesahihan sesuatu ubat, orang awam diseru melayari laman www.npra.gov.my bagi mendapatkan maklumat tepat dan jika tidak, kemungkinan ubat-ubatan yang dibeli di alam maya boleh mengancam nyawa pengguna itu sendiri.

TETITIA YUSOFF