PUTRAJAYA , 24 Oktober - Petugas media yang terlibat dalam membuat liputan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 diminta untuk memaklumkan sebarang perkara berbangkit kepada pihaknya sekiranya berdepan sebarang masalah sepanjang acara berlangsung.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata ia susulan sidang kemuncak itu mencatat sejarah tersendiri dengan kehadiran wartawan paling ramai termasuk wakil media antarabangsa.
"Bagi negara Jepun sahaja seramai 300 wakil media akan membuat liputan pada sidang kemuncak itu nanti.
''Sekiranya ada apa-apa isu boleh maklumkan kepada saya sama ada isu liputan internet ataupun isu kebajikan kerana ini merupakan acara di mana jumlah wartawan yang paling besar dalam sejarah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media mingguan di sini hari ini.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan akan diadakan dari 26 hingga 28 Okt ini, di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan 'Keterangkuman dan Kemampanan'.
Antara pemimpin dunia yang dijadualkan menghadiri sidang kemuncak berkenaan ialah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa.
Tahun ini juga menandakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN sejak penubuhannya pada 1967, selepas memegang jawatan itu pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.