KUALA LUMPUR, 10 Mei- Waris mangsa insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada 7 Mei lalu, layak menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata waris menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 secara sekali bayar.
Turut diterima waris mangsa adalah Faedah Orang Tanggungan (FOT), dianggarkan berjumlah RM3,400 oleh PERKESO.
Tambahnya, mangsa layak menerima faedah menerusi Skim Bencana Pekerjaan bawah Akta 4.
Balu Allahyarham Md Rizal, Norpahidah Mat Zaman juga bakal menerima FOT sepanjang hayat manakala empat anaknya yang berusia antara tiga hingga 18 tahun diberikan manfaat sama sehingga berusia 21 tahun, jika belum berkahwin dan boleh dilanjutkan sekiranya menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama.
Mangsa yang bekerja sebagai pemandu di Tele Dynamics Global Com Sdn. Bhd sejak 2018 meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke sebuah hotel untuk menjemput tetamu syarikat majikannya akibat terlibat dalam insiden pokok tumbang.