GUA MUSANG, 28 April - Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri semakin terasa apabila warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menghiasi halaman perumahan mereka dengan 10, 000 lampu dan pelita raya pelbagai jenis.
Biarpun tidak dapat pulang beraya di kampung halaman kerana bertugas, Persatuan Keluarga Polis (Perkep) IPD Gua Musang mengambil inisiatif mengadakan pertandingan keceriaan dan pencahayaan bersempena meraikan malam tujuh likur.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, program julung kali diadakan itu bertujuan memupuk semangat kerjasama kejiranan.
Lebih 200 keluarga polis pelbagai pangkat yang menghuni 20 blok perumahan bekerjasama menghiasi jalan, lorong dan kawasan blok dengan pelbagai jenis lampu, hiasan serta memasang pelita sejak seminggu lalu.
(Foto Fail)
"IPD Gua Musang kita telah menganjurkan program pertandingan perhiasan di peringkat perumahan IPD Gua Musang ini. Seperti kita nampak tadi keceriaan, persiapan, kerjasama dalam kalangan penghuni blok-blok penduduk dalam kuaters dalam IPD Gua Musang inilah.
"Bagi mengubat rindu ke kampung halaman anggota pegawai kita membuat perhiasan di rumah masing-masing. Bagi yang tak dapat bercuti, konsep kita berkhidmat untuk masyarakat," kata Sik Choon selepas membuat penilaian di kawasan perumahan berkenaan.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim.
Mohd. Syahbuddin memuji usaha dan semangat anggota dan pegawai menyambut Aidilfitri dengan cara tersendiri.
" Saya kira ini merupakan langkah yang baik di samping mengeratkan silaturahim antara anggota yang tidak dapat beraya di kampung. Ia juga satu aktiviti yang dihidupkan untuk menyambut Hari Raya.
"Saya kira perhiasan yang dibuat ini amat sesuai bertepatan dengan suasana Hari Raya setelah dua tahun kita tak dapat beraya di kampung secara terbuka dan meriah. Ini adalah langkah yang baik diambil oleh pihak IPD Gua musang," kata Mohd Syahbuddin.