ISKANDAR PUTERI, 18 Jun- Seorang warga emas ditahan selepas menunggang motosikal secara lawan arus sejauh 700 meter di Kilometer 24, Lebuhraya Linkedua arah utara, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP M. Kumarasan berkata, lelaki berusia 80 tahun itu turut dikesan menunggang tanpa topi keledar, dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi.
"Individu terbabit ditahan pada hari sama, untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Pihak polis turut menerima laporan daripada anak perempuan lelaki terbabit, yang mendakwa bapanya itu telah keluar dari rumah di Kota Tinggi, tanpa pengetahuan keluarga.
"Warga emas itu turut dilaporkan menghidap penyakit Alzheimer, namun pihak polis masih menunggu pengesahan doktor," katanya menerusi kenyataan.
Kes akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.