SEREMBAN, 27 April- Seorang lelaki warga emas yang sedang menjala ikan terkejut apabila menemui mayat terapung di kawasan Sungai Linggi berhampiran Pusat Dakwah Islamiah Paroi, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata pihaknya menerima laporan berkaitan penemuan mayat dipercayai lelaki itu pada pukul 2 petang.
“Kita percaya lelaki yang hanya memakai seluar jeans itu meninggal dunia antara tiga hingga empat hari lepas berdasarkan mayatnya yang mereput dan berbau,” katanya.
"Pemeriksaan awal turut menemukan tatu pada tangan kiri dan kanan lelaki itu, namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai padanya,"katanya.
Menurut Mohamad Hatta mayat berkenaan berkemungkinan hanyut dari Sungai Ulu Bendul.
Tambahnya, mayat kemudiannya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk proses bedah siasat.
"Orang awam yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berkaitan penemuan mayat berkenaan diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,"katanya.