fb fb fb fb fb

Warga emas dengan penyakit kronik akan terima vaksin influenza percuma

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 10 Februari- Warga emas iaitu mereka yang berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu (1) penyakit kronik (diabetes, penyakit respiratori, jantung, obesiti, hipertensi, dislipidemia, atau penyakit buah pinggang kronik) akan menikmati vaksin influenza secara percuma bermula 18 Februari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan Program vaksinasi secara sukarela ini adalah langkah progresif yang bakal memanfaatkan lebih 170,000 warga emas berisiko tinggi.

"Perluasan program imunisasi ini bertujuan untuk melindungi lebih ramai populasi berisiko tinggi daripada komplikasi serius akibat jangkitan influenza seperti pneumonia, radang jantung dan sepsis yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital atau kematian.

"Janji temu untuk mendapatkan vaksin boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera mulai 14 Februari 2025. Namun ini tertakluk kepada status agihan vaksin ke seluruh negara yang dibuat secara berfasa," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu KKM turut memaklumkan bahawa kekurangan stok vaksin hanya bersifat sementara.

Program Perkhidmatan Farmasi KKM sedang mengambil langkah yang perlu bagi memastikan bekalan vaksin di pasaran swasta tempatan pulih secepat mungkin.

KKM juga menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan langkah pencegahan seperti kerap mencuci tangan; memakai pelitup separuh muka; serta mendapatkan vaksinasi.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta jika mengalami gejala seperti demam, batuk dan selesema berpanjangan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI