fb fb fb fb fb

Warga Bangladesh maut diserang gajah liar di Gua Musang

Foto Polis

GUA MUSANG, 13 Mei - Seorang pekerja ladang warga Bangladesh maut diserang seekor gajah liar di ladang Kampung Om, Pos Blau di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo dalam satu kenyataan berkata, Md Nawsher Ali, 29, ditemukan maut dalam keadaan perut terburai.

"Kira-kira pukul 5.00 petang mangsa bersama-sama rakan sekerjanya telah terserempak dengan haiwan terbabit ketika dalam perjalanan pulang dari ladang.

"Siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa dipercayai tidak sempat melarikan diri sebelum diserang haiwan itu dan terdapat kesan tapak kaki gajah berhampiran lokasi mangsa ditemukan," katanya.

Sik Choon Foo berkata mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian dan tiada sebarang unsur jenayah ditemukan terhadap mangsa.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Bagaimanapun pihak polis mengingatkan supaya orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu bagi menghormati keluarga mangsa.

TETITIA YUSOFF