
KUALA LUMPUR, 29 Januari– Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mewartakan larangan pembelian minyak masak peket bersubsidi oleh bukan warganegara menerusi peruntukan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan larangan itu akan dikuatkuasakan bermula 1 Mac 2026 selepas dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC). Jelasnya, pelaksanaan larangan berkenaan akan diperkasakan menerusi penggunaan aplikasi mudah alih eCOSS yang merekodkan transaksi penjualan dan pembelian secara digital di sepanjang rantaian pengagihan sehingga ke pengguna akhir. “Sistem pembelian yang diintegrasikan dengan butiran kad pengenalan hanya untuk warganegara akan membolehkan peruncit dan penguat kuasa melaksanakan larangan tersebut dengan lebih berkesan,” katanya bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman di Dewan Rakyat, hari ini. Beliau berkata sebelum ini terdapat gesaan untuk menghalang warga asing daripada membeli minyak masak peket bersubsidi, namun peruncit berdepan kesukaran dari segi mekanisme pelaksanaan dan penguatkuasaan. Bagaimanapun, penggunaan sistem eCOSS mampu menangani isu berkenaan melalui pemantauan yang lebih berkesan serta sokongan undang-undang yang lebih kukuh. Armizan menegaskan, penggubalan peraturan baharu itu penting bagi memastikan subsidi benar-benar dinikmati golongan layak, sekali gus mengelakkan ketirisan.
- Larangan pembelian minyak masak peket bersubsidi oleh bukan warganegara dikuatkuasakan mulai 1 Mac 2026.
- Pelaksanaan diperkasakan melalui aplikasi eCOSS merekodkan transaksi digital sepanjang rantaian pengagihan.
- Sistem berintegrasi dengan butiran kad pengenalan membolehkan peruncit dan penguatkuasa melaksanakan larangan lebih berkesan.
- Matlamat peraturan baru memastikan subsidi dinikmati golongan layak dan mengelakkan ketirisan.