fb fb fb fb fb

Warga asing cari modal di Malaysia, buka perniagaan di kampung halaman

Foto Jabatan Imigresen Negeri Kedah

PADANG TERAP, 15 Februari- Cari modal untuk buka perniagaan di kampung.

Alasan itu diberikan seorang lelaki warga Thailand yang dicekup sepasukan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam serbuan Op Selera di sebuah kedai makan di Taman Akasia, Kuala Nerang.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata lelaki berusia 20-an berkenaan ditahan bersama lima lelaki dan seorang wanita warga asing yang dikesan bekerja sebagai tukang masak dan pelayan pelanggan di premis terbabit.

"Ketika serbuan, ada antara warga asing berkenaan dilihat tercengang serta terpinga-pinga semasa sedang memasak di bahagian dapur premis tersebut. Mereka berjaya ditahan tanpa sebarang provokasi oleh anggota JIM", katanya menerusi hantaran di facebook.

“Ketika semua pekerja ditahan, seorang daripada mereka dilihat kurang berkomunikasi dan lebih banyak berdiam diri selain berada dalam keadaan sugul. Bagaimanapun, dia ketika itu disangka mungkin takut kerana ditahan, namun selepas dibawa ke pejabat JIM untuk proses dokumentasi, beliau meluahkan rahsia sebalik sikap pendiamnya itu yang berhasrat ingin menyimpan wang bagi membuka perniagaan makanan di negara sendiri”, katanya.

Hasil siasatan lanjut mendapati dia mengaku mahu mencari wang dengan cara mudah di negara ini disamping menyara keluarga di kampung.

Dalam serbuan di beberapa lokasi lain, seramai 11 individu terdiri daripada seorang wanita dan 10 lagi lelaki warga asing yang berusia 18 hingga 37 tahun, ditahan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Manakala majikan yang menggaji pekerja asing akan disiasat di bawah Seksyen 55E dan Seksyen 56(1)(d) akta yang sama," katanya.

Semua mereka akan direman bagi membantu siasatan dan akan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik.

ROSLINA BINTI DIN