
BETONG, 15 Mac – Seorang wanita warga emas maut dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta di Jalan Pan Borneo Sri Aman – Saratok, petang tadi.
- Pusat Gerakan JBPM Sarawak menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.44 petang.
- Sepasukan anggota BBP Betong dan sebuah jentera Fire Rescue Tender digerakkan ke lokasi kejadian.
- Kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta dengan enam mangsa; dua lelaki dan empat perempuan.
- Bomba membuka pintu belakang menggunakan peralatan khas; mangsa cedera dihantar ke hospital oleh KKM dan APM.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerusi kenyataan memaklumkan, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada pukul 4.44 petang.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Didapati kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta yang dinaiki enam mangsa terdiri daripada dua lelaki dan empat perempuan,” menurut kenyataan itu.
Kenderaan tersebut dipercayai terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan yang mengakibatkan lima mangsa mengalami kecederaan ringan manakala seorang mangsa wanita warga emas yang merupakan penumpang di bahagian belakang maut.
Pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan wanita warga emas itu meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pihak bomba bertindak membuka pintu belakang kereta yang tersekat menggunakan peralatan khas bagi memudahkan operasi menyelamat.
Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.