fb fb fb fb fb

Wanita perlu diberi peluang secukupnya dalam pembangunan negara

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC)/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Mac- Ruang dan peluang secukupnya perlu diberikan kepada golongan wanita melibatkan semua aspek pembangunan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia penting memandangkan masih ada kekurangan keterlibatan golongan itu pada peringkat pembuat dasar.

Beliau berkata perkara itu perlu diberi perhatian setiap kementerian melibatkan program anjuran Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

"Setiap kementerian, bicara soal perpaduan ada peranan wanita, pendidikan, pendidikan tinggi, kesihatan. Komunikasi mesti beri ruang yang secukupnya kepada wanita. Dalam kalangan penjawat awam, walaupun kita saksikan beberapa tokoh-tokoh utama yang diberikan ruang, kedudukan yang baik dengan prestasi yang membanggakan.

"Saya gesa kepada Ketua Setiausaha Negara supaya mencari jalan meningkatkan peranan dan kedudukan wanita setimpal dengan keupayaan mereka", katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata dasar pemerkasaan wanita boleh diperbaiki berdasarkan tempoh dua tahun pentadbiran Kerajaan MADANI.

Ini mengambil kira peranan wanita yang integral, serta berpaksikan kepada pembangunan masyarakat dan negara.

"Maknanya ruang itu ada untuk kita perbaiki. Sebab mahu menjayakan Kerajaan MADANI, bermula dengan menjayakan keluarga, memastikan disiplin sekolah dan anak-anak, asas keilmuan serta keharmonian.

"Jadi, peranan wanita itu sangat integral. Kalau kita tidak pandang hal ini sebagai yang serius, maka konsep MADANI itu tidak dapat kita cernakan", kata Datuk Seri Anwar.

Tegasnya, dalam mengejar pembangunan negara termasuk dari segi digitalisasi dan teknologi, wanita dan keluarga harus sentiasa diberikan keutamaan.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri serta Timbalannya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

ROSLINA BINTI DIN