Wanita pemangkin pembangunan keluarga dan negara – Fadillah

Ucapan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof sempena Hari Wanita

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Kerajaan akan terus memperkukuh bantuan, perlindungan serta sokongan kepada golongan wanita di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wanita memainkan peranan besar dalam keluarga, pendidikan, ekonomi dan kepimpinan, menjadi pendidik, pemangkin perubahan sosial dan penyumbang pembangunan negara.
  • Walaupun kemajuan dicapai, masih wujud jurang sosial, ekonomi dan politik terhadap wanita yang memerlukan perhatian bersama.
  • Isu keganasan dan konflik memberi kesan besar kepada wanita dan kanak-kanak, menuntut tindakan berterusan masyarakat antarabangsa.
  • Peranan serta pencapaian wanita harus diiktiraf dan dihargai untuk meruntuhkan stereotaip dan memartabatkan kedudukan mereka.

Langkah itu termasuk mewujudkan lebih banyak ruang selamat bagi memastikan kesejahteraan serta peluang yang adil kepada mereka.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata usaha berkenaan penting memandangkan wanita memainkan peranan besar dalam pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

“Di Malaysia, wanita terus memainkan peranan besar dalam keluarga, pendidikan, ekonomi dan juga kepimpinan masyarakat. Ramai wanita menjadi pendidik generasi, pemangkin perubahan sosial serta penyumbang kepada pembangunan negara” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Wanita hari ini.

Beliau berkata walaupun pelbagai kemajuan telah dicapai, masih terdapat jurang dalam aspek sosial, ekonomi dan politik yang dihadapi wanita di banyak negara dan memerlukan perhatian bersama.

Menurutnya, isu keganasan serta konflik di beberapa kawasan dunia turut memberi kesan besar kepada wanita dan kanak-kanak, sekali gus menuntut tindakan berterusan oleh masyarakat antarabangsa.

“Wanita juga adalah tonggak utama negara sekalipun mungkin mereka hanya bekerja dan menyumbang secara di belakang tabir.

“Peranan dan pencapaian wanita wajar sentiasa diiktiraf dan dihargai, kerana inilah langkah pertama untuk kita meruntuhkan stereotaip terhadap kedudukan wanita dalam masyarakat,” katanya.

Beliau turut mengajak semua pihak terus menghargai dan memartabatkan peranan wanita sebagai rakan penting dalam membentuk masa depan negara.