SAMARAHAN, 21 Oktober - Seorang wanita maut digilis lori manakala penunggang motosikal yang merupakan seorang lelaki cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 10, Jalan Kota Samarahan-Tabuan Jaya kira-kira pukul 9.00 pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Samarahan, Superintenden Damataries Lautin, motosikal yang ditunggang Rayven Rayman, 32 dan Nur Aisyah Abdullah, 40 dari arah Stakan menuju ke Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah merempuh belakang sebuah kereta yang berhenti di lampu isyarat jalan tersebut.
Mangsa dan Rayven Rayman telah tercampak ke kiri bahu jalan sebelum digilis sebuah lori dari arah depan.
Nur Aisyah Abdullah maut di tempat kejadian manakala Rayven Rayman yang cedera parah dirawat di unit rawatan kritikal, Hospital Umum Sarawak (HUS).
Superintenden Damataries mengesahkan kemalangan itu ketika dihubungi pemberita RTM di Kuching, dan kes disiasat bawah seksyen 41(1) akta pengangkutan jalan 1987.
