
KUALA LUMPUR, 17 Februari- Seorang wanita maut manakala dua individu lain cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 443.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Bukit Beruntung pagi tadi.
- Kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 443.2 Lebuhraya PLUS arah selatan dekat Bukit Beruntung.
- Seorang wanita penumpang maut, seorang pemandu kereta cedera ringan dan pemandu lori cedera parah di kepala.
- 14 anggota dan tiga jentera Bomba dan Penyelamat Rawang dikerahkan ke lokasi selepas panggilan kecemasan.
- Mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan melibatkan sebuah lori muatan batu kapur dan dua kereta itu pada 7.33 pagi.
“Sebanyak 14 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dikerah ke lokasi kejadian.
“Pemeriksaan mendapati pemandu lori yang berusia 40-an cedera parah di bahagian kepala, seorang lelaki yang memandu sebuah kereta cedera ringan manakala penumpangnya seorang wanita meninggal dunia. Pemandu sebuah lagi kereta selamat,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Mukhlis berkata mangsa yang cedera kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.