Wanita maut dalam nahas lima kenderaan di Jalan TAR Sibu

Sebuah kenderaan yang remuk akibat pelanggaran

SIBU, 14 Januari -Seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemalangan melibatkan lima kenderaan di Jalan Tunku Abdul Rahman, Sibu, berpunca dari sebuah pacuan empat roda hilang kawalan.
  • Seorang wanita penumpang kereta sedan, Kamariah Dupap, 63, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
  • Dua mangsa tersepit; bomba mengeluarkan mereka, pemandu sedan mengalami kecederaan parah.
  • Empat mangsa lain mengalami kecederaan ringan; mayat diserahkan kepada polis dan punca masih disiasat.

Ketua Zon Empat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 11.38 pagi.

Menurut beliau, kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah Sibujaya menuju ke pusat bandar Sibu dipercayai hilang kawalan.

“Kenderaan berkenaan kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh tiga buah kenderaan lain, mengakibatkan perlanggaran berantai.

Akibat kejadian itu, seorang penumpang wanita dalam sebuah kereta sedan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandunya mengalami kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kereta sedan tersebut turut dirempuh dari arah belakang oleh sebuah lagi kenderaan yang gagal membrek.

Andy turut memaklumkan, setibanya pasukan bomba di lokasi, dua mangsa didapati tersepit di tempat pemandu dan penumpang.

“Pasukan bomba membantu mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit, namun penumpang wanita disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Empat lagi mangsa melibatkan pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda serta sebuah lagi kereta sedan mengalami kecederaan ringan,” katanya lagi.

Mangsa maut dikenal pasti sebagai Kamariah Dupap, 63 tahun.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala punca kejadian masih dalam siasatan.