fb fb fb fb fb

Wanita maut dalam nahas babitkan enam kenderaan

Keadaan kereta yang remuk akibat dirempuh lori

SEREMBAN, 28 September- Polis mengesahkan seorang wanita maut manakala empat lagi cedera selepas terbabit dalam nahas melibatkan sebuah lori jenis tipper dan lima kereta di Jalan Persiaran Negeri dekat Persimpangan Lampu Isyarat Persiaran Golf, Nilai di sini, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai DSP Mat Ghani Lateh menerusi satu kenyataan berkata dalam kejadian pada 3.45 petang itu, mangsa yang berusia 31 tahun mengalami cedera parah di bahagian badan dan kepala akibat tersepit, dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkara siasatan awal mendapati lori tipper yang membawa muatan pasir dipandu seorang lelaki berumur 30 tahun dalam perjalanan dari arah Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang menghala ke Pusat Bandar Nilai.

"Apabila sampai di tempat kejadian, lori berkenaan telah hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar lima kereta yang sedang berhenti di lampu isyarat merah.

"Akibat kemalangan, pemandu kereta jenis Perodua Ativa tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Alza mengalami kecederaan ringan," katanya.

Beliau berkata pemandu lori dan empat mangsa lain pula tidak mengalami kecederaan.

Mangsa yang maut dan cedera dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban oleh orang awam dan ambulans untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE