KULIM, 2 November – Seorang wanita ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras akibat fenomena 'kepala air' ketika mandi bersama keluarganya di Taman Eco Rimba, Sungai Sedim, petang tadi.
Mayat mangsa, A. Kashutri, 41 ditemui pada pukul 5.50 petang oleh orang awam di kawasan Lubuk Buluh, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Mangsa ditemukan di dalam air antara tebing sungai dan celahan batu dilaporkan hilang. Mangsa didapati telah meninggal dunia dan seterusnya diserahkan kepada pihak Poilis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau berkata kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 4.02 petang ketika mangsa sedang mandi bersama keluarganya sebelum dihanyutkan arus deras.
Katanya, mangsa bersama keluarga beriadah di taman rekreasi itu sempena Deepavali.
"Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.