fb fb fb fb fb

Wanita jatuh gaung ketika daki Gunung Korbu, berjaya diselamatkan - JBPM Perak

Foto Ihsan JBPM Perak

IPOH, 8 Julai- Seorang wanita cedera selepas tergelincir lalu jatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter ketika menjalani aktiviti pendakian di Puncak Gunung Korbu, Ulu Kinta, Perak, petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada pukul 3.29 petang.

Jelasnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun digerakkan ke lokasi kejadian dan dibantu Malim Gunung Perhutanan Negeri Perak.

Pasukan penyelamat telah memulakan pendakian bagi operasi menyelamat selepas itu dan memerlukan enam jam untuk ke lokasi mangsa.

Mangsa yang berumur 35 tahun itu dikatakan jatuh ketika melintas dengan memeluk balak yang tumbang ditebing sungai ketika menuruni puncak Gunung Korbu.

Operasi membawa mangsa turun juga menghadapi kesukaran berikutan pendakian waktu gelap dan melalui lereng serta perlu menempuh anak sungai termasuk keadaan jalan yang licin.

Pihaknya memerlukan tempoh masa yang lama untuk mengusung mangsa keluar.

Ujarnya, seorang doktor yang mengikuti aktiviti tersebut mengesahkan mangsa tidak mengalami kecederaan patah dan mungkin mengalami kejutan.

Bagaimanapun, kecederaan dalaman tidak dapat disahkan.

Menurut sumber, aktiviti pendakian terbabit telah bermula pada Sabtu lepas, melibatkan 35 peserta termasuk mangsa bersama lima malim gunung.

Para peserta lain telah dibawa keluar daripada ekspedisi itu dan operasi menyelamat mangsa masih diteruskan, malam ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM