Wanita hilang ketika cari buah di hutan ditemukan selamat

Suriya Marais, 52, ditemukan selamat selepas semalaman hilang di hutan

DARO, 24 Februari- Seorang wanita di Sarawak yang dilapor hilang ketika mencari buah sekiu di hutan berhampiran Kampung Penibong, di sini, malam Isnin, ditemukan selamat hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suriya Marais, 52, ditemukan selamat tengah hari selepas dilapor hilang semalaman di hutan.
  • Pasukan Mencari dan Menyelamat menemui mangsa pada 12.09 tengah hari.
  • Petunjuk berupa buah asam paya dalam guni ditemui pada 10.32 pagi.
  • Operasi hari kedua melibatkan 95 anggota agensi dan penduduk kampung dalam radius enam kilometer.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daro, Pegawai Bomba Tinggi II Hasman Bakar berkata mangsa, Suriya Marais, 52, ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada 12.09 tengah hari tadi.

Penyelamat menemui petunjuk dipercayai milik mangsa iaitu buah asam paya dalam guni pada pukul 10.32 pagi yang akhirnya membawa kepada penemuan mangsa.

Suriya kemudian dibawa keluar dari kawasan hutan menuju Pusat Kawalan Operasi Bomba untuk tindakan lanjut.

Operasi hari kedua itu melibatkan 95 anggota daripada pelbagai agensi dan penduduk kampung dalam radius kira-kira enam kilometer.