fb fb fb fb fb

Wanita dihempap kayu balak ditidurkan

Tragedi yang menimpa Siti Norelyana Kamaruzan, 21, yang dihempap kayu balak semalam

GUA MUSANG, 10 Julai- Wanita yang nyaris maut akibat dihempap kayu balak dalam kejadian di Persimpangan Bendahara di sini semalam terpaksa ditidurkan ketika mendapat rawatan di Hospital Gua Musang.

Abang mangsa, Mohamad Azwa Kamarulzaman, 28, berkata, adiknya Siti Norelyana, 21, kemudian dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu kira-kira 8 malam semalam dan berada dalam pemantauan rapi petugas kesihatan.

Beliau berkata, adiknya akan menjalani pembedahan akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan antaranya tulang belakang, tulang rusuk, hati dan paru-paru.

"Adik saya ditidurkan kira-kira 6.00 petang semalam dan sekarang ini doktor sedang merawat bahagian usus yang berkemungkinan akan mengalami komplikasi.

"Saya berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakan adik saya dan berharap semua terus kekal berdoa supaya dia dapat pulih," katanya kepada Bernama hari ini.

Mohamad Azwa berkata, mengikut perancangan Siti Norelyana akan melangsungkan perkahwinan pada Disember tahun ini.

Siti Norelyana nyaris maut apabila motosikal ditunggangnya dihempap kayu balak yang dibawa oleh sebuah lori ketika berhenti di lampu isyarat di Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini.

Ketua Polis Daerah, Penguasa Polis (SP) Sik Choon Foo berkata, kemalangan berpunca daripada 'turn-table' lori balak itu patah ketika mengambil selekoh. -BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA