KUALA LUMPUR, 16 April- Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah mengeluarkan sebuah visual iklan yang dipaparkan pada tren perkhidmatan Laluan Ampang/Sri Petaling selepas menerima maklum balas orang ramai.
Menurut Prasarana, pihaknya menghargai maklum balas dan pandangan masyarakat terutamanya apabila ia boleh disalah tafsir sebagai suatu bentuk sasaran kepada kepada individu atau komuniti tertentu.
Prasarana mengambil iktibar atas maklum balas berkaitan visual iklan itu.
Pihaknya juga akan memperketat proses semakan bagi memastikan visual daripada pengiklan tidak akan menimbulkan isu sensitif kepada orang ramai.
"Kandungan visual iklan tersebut yang mempromosikan produk penjagaan diri turut menggambarkan pelbagai situasi harian yang melibatkan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang yang menggunakan pengangkutan awam.
"Ianya bertujuan untuk memaparkan kepentingan penggunaan produk penjagaan diri, dan tidak menyasarkan mana-mana individu atau komuniti tertentu.
"Visual iklan tersebut telah melalui proses yang sewajarnya, termasuk semakan oleh pihak dalaman dan luaran, merangkumi aspek-aspek seperti sensitiviti kaum, agama dan sosial, sebelum visual tersebut dicetak dan dipaparkan.
"Kami mengucapkan terima kasih di atas sokongan dan keprihatinan orang ramai yang berterusan terhadap penggunaan pengangkutan awam," menurut kenyataan tersebut.
Terdahulu, beberapa pengguna media sosial meminta Prasarana menjelaskan tindakan mereka memaparkan sebuah iklan yang didakwa tidak menjaga sensitiviti kaum dan agama kerana memperlihatkan simbol keagamaan dalam kandungan iklan berkenaan.