fb fb fb fb fb

UUM di antara 500 universiti terbaik dunia

Foto UUM

SINTOK, 9 Oktober-Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh pengaruhnya di pentas global apabila sekali lagi menempatkan diri dalam kelompok 401-500 universiti terbaik dunia menerusi penarafan Times Higher Education (THE) World University Rankings 2025.

Pencapaian tersebut sekali gus menjadikan UUM sebagai universiti ketiga terbaik di Malaysia, menonjol dalam kalangan institusi awam dan swasta.

Kejayaan UUM menempatkan diri seiring dengan tiga universiti penyelidikan terkemuka di negara membuktikan bahawa UUM tidak hanya bersaing tetapi juga bersinar dalam kalangan yang terbaik.

Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan menyampaikan penghargaan kepada seluruh warga UUM atas usaha gigih mereka dalam memastikan institusi ini terus tersenarai dalam penarafan THE World University Rankings 2025.

“Pencapaian ini bukan hanya milik individu, tetapi merupakan kejayaan kolektif kita semua dari peringkat akar umbi hingga ke pucuk pimpinan.

“Ini adalah hasil daripada komitmen UUM dalam memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan yang memberi impak positif kepada dunia akademik,” katanya di sini.

Beliau turut berharap agar semua warga UUM akan terus berkomitmen dan berusaha keras untuk meningkatkan kedudukan universiti ini bukan sahaja di persada dunia tetapi juga dalam negara.

Penarafan THE World University Rankings yang dikeluarkan setiap tahun melibatkan lebih 1,904 universiti di seluruh dunia, dengan penilaian berdasarkan 18 indikator yang dikategorikan kepada lima aspek utama iaitu pengajaran (teaching), persekitaran penyelidikan (research environment), kualiti penyelidikan (research quality), hubungan dengan industri (industry), dan perspektif antarabangsa (international outlook).

Dr. Mohd Foad menekankan bahawa peningkatan UUM dalam indikator impak sitasi mencerminkan kualiti penerbitan yang menjadi rujukan dalam kalangan akademia terutamanya dalam bidang pengurusan.

Kejayaan ini juga mengukuhkan lagi kedudukan UUM sebagai universiti yang aktif dalam penyelidikan dan inovasi yang berkualiti serta relevan di peringkat antarabangsa.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD