fb fb fb fb fb

Utamakan keselamatan penggunaan elektrik dan gas ketika semasa musim banjir

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 17 Disember - Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan dalam penggunaan elektrik dan gas semasa musim banjir ketika ini.

Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam kenyataan satu kenyataan berkongsi beberapa langkah pengawasan yang boleh diambil bagi memastikan keselamatan elektrik dan gas terutamanya sebelum, semasa dan selepas banjir.

“Sekiranya diarah berpindah, pastikan perkara berikut dilaksanakan antaranya simpan kelengkapan elektrik di tempat tinggi dan selamat daripada ditenggelami air dan matikan suis bekalan utama di papan agihan elektrik.

“Selain itu, matikan pepasangan elektrik yang disambung secara berasingan daripada suis utama seperti solar fotovoltaik (PV) atau pagar elektrik dan tutup injap silinder gas atau gas berpaip,” menurut kenyataan itu.

Jelasnya, banjir boleh mengakibatkan pelbagai risiko antaranya tiang elektrik tumbang, talian elektrik terputus dan kerosakan kelengkapan elektrik dan gas.

Orang ramai juga perlu mengelak daripada melalui kawasan yang mempunyai talian atau pepasangan elektrik seperti pencawang dan bilik suis elektrik yang ditenggelami air, serta mengelak daripada memegang tiang atau apa-apa struktur yang menyalurkan elektrik.

"Orang ramai diingatkan supaya tidak mengalih tiang elektrik yang tumbang atau talian elektrik putus, sebaliknya segera melaporkan kepada pihak utiliti elektrik.

Menurut ST bagi memastikan keselamatan penggunaan elektrik dan gas selepas banjir, suis utama di papan agihan elektrik dan injap saluran gas hendaklah dimatikan sebelum kerja pembersihan dimulakan.

"Sebelum menghidupkan suis utama, pastikan kelengkapan elektrik dalam keadaan baik dan kering selain sentiasa berwaspada apabila menjalankan aktiviti pembersihan banjir berdekatan dengan talian, struktur pepasangan elektrik serta saluran gas berpaip.

“Elak menggunakan kelengkapan elektrik dan gas yang diragui keselamatannya. Sekiranya meragui keselamatan sistem elektrik dan gas berpaip berkenaan, dapatkan perkhidmatan kontraktor elektrik atau gas yang berdaftar dengan ST,” menurut kenyataan itu.

Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi ST melalui talian 03-8870 8800 atau e-mel ke Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. atau melayari laman sesawang www.st.gov.my.

TETITIA YUSOFF