KUANTAN, 5 Februari - Utamakan keselamatan diri, kediaman dan kenderaan sebelum memulakan perjalanan pada musim perayaan ini.
Nasihat itu dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang agar masyarakat peka dan meningkatkan kewaspadaan.
Ketua Cawangan Penguatkuasaan Keselamatan Bangunan JBPM Pahang, Muhammad Rasydan Ismail berkata sebanyak 187 kebakaran struktur dicatat menerusi Ops Selamat Tahun Baharu Cina, tahun lalu di negeri itu.
Beliau berkata, 101 daripada kes itu melibatkan kediaman.
"Pastikan peralatan-peralatan elektrik dan peralatan di dapur ditutup dan dicabut. Macam contoh biasanya yang paling biasa kepala tong gas cabut dan tong gas itu tidak ada berlaku apa-apa kebocoranlah dan berkaitan elektrik, peralatan elektrik, pastikan kepala plug atau suis itu kita tutup dan kita cabut, itu lebih selamatlah," katanya.
Beliau ditemui selepas menjadi tetamu radio PahangFM sempena Ops Selamat Tahun Baharu Cina, di sini.
Tambah Muhammad Rasydan, pihak bomba kini sedang giat melaksanakan Ops Selamat bermula 26 Januari lalu hingga 18 Februari depan.
Ini melibatkan kempen kesedaran, pemantauan dan penguatkuasaan.
Katanya, sepasukan tujuh anggota dan sebuah ambulans Emergency Medical Rescue Services (EMRS) turut ditempatkan di lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) untuk memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku kemalangan.