(FOTO FB Anwar Ibrahim)
KUALA LUMPUR, 18 Mei- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sedih atas pemergian pengasas dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang pertama Dr Razali Nawawi yang meninggal dunia di Hospital Pakar An-Nur pada pukul 6.45 pagi tadi.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar berkata Allahyarham merupakan seorang penjana dan pendiri ABIM yang gigih bersama beliau dan rakan yang lain, selain merupakan antara guru dalam perjuangannya yang penuh liku.
“Amat menyedihkan tatkala Ustaz Dr. Razali Nawawi yang kami kasihi telah meninggalkan dunia ini. Saya sempat menziarahi beliau minggu lepas yang sedang uzur. Semoga Allah merahmati rohnya dan memaafkan semua kesalahannya.
“Mendoakan keluarga dan insan tersayang yang ditinggalkan tabah dan dikurniakan kekuatan oleh Allah SWT. Innalillahi wainnailaihirajiun,” katanya.
Pada 13 Mei lepas, Perdana Menteri meluangkan masa menziarahi Razali di kediamannya yang pada ketika itu berada dalam keadaan uzur.
(FOTO FB Anwar Ibrahim)