fb fb fb fb fb

Usahawan sosial diseru dapatkan penarafan menerusi Kuskop

Datuk Ewon Benedick

KUALA LUMPUR, 27 Jun- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menyeru golongan usahawan sosial untuk mendapatkan penarafan daripada kementerian itu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, dengan penarafan itu, usahawan dapat meningkatkan kredibiliti mereka sebagai perusahaan sosial yang diiktiraf dan boleh dipercayai di dalam dan luar negara.

"Pengiktirafan ini akan membuka peluang yang lebih luas di peringkat antarabangsa kepada Perusahaan Sosial Diakreditasi, seperti akses ke pasaran antarabangsa, berpotensi untuk mendapat sumber pembiayaan merentasi sempadan," katanya dalam ucapannya pada Sambutan Hari Perusahaan Sosial 2024 di sini.

Kementerian juga telah menambahbaik kerangka penarafan perusahaan sosial agar proses penilaian penarafan menjadi lebih telus dan berkesan.

Ia termasuk melantik wakil industri sebagai salah seorang ahli di dalam jawatankuasa penilaian penarafan, agar mereka dapat memberikan khidmat nasihat semasa proses penilaian dibuat.

Dalam perkembangan lain Perusahaan Sosial Malaysia diberi pengiktirafan berganda (double-badge) oleh Social Enterprise World Forum (SEWF) pada Mac lepas, sekali gus membuka peluang Perusahaan Sosial Diakreditasi dikenali di peringkat antarabangsa.

Ewon menerusi satu kenyataan berkata, perusahaan sosial yang diberi penarafan Perusahaan Sosial Diakreditasi daripada Kuskop secara automatik akan diiktiraf oleh SEWF tanpa melalui proses penilaian di peringkat antarabangsa.

"Kuskop juga telah memperkenalkan satu tahap penarafan baharu iaitu Tunas Perusahaan Sosial atau Aspiring SE untuk lebih banyak usahawan baharu menceburkan diri dalam perusahaan sosial dapat diberi penarafan dan galakan menjadi perusahaan sosial yang sebenar," katanya menerusi kenyataan itu sempena sambutan Hari Perusahaan Sosial.

Ia merupakan anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dengan kerjasama Chamber of Social Entrepreneur Development (CSED) dan SME Bank.

Ewon berkata pada sambutan itu 13 daripada 20 perusahaan sosial telah mendapat penarafan Perusahaan Sosial Diakreditasi daripada Kuskop.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI