fb fb fb fb fb

Usahawan di Selangor disaran perluas pasaran ke Asia Tenggara

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) meyampaikan anugerah cemerlang kategori Anugerah Industri Makanan dan Minuman (Pembuatan) kepada Pengasas DNA Herbal Pride Industries Sdn Bhd, Nor Ainhidayah Abdullah (empat, kiri) pada Majlis Anugerah Usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam, semalam

SHAH ALAM, 2 Februari - Usahawan di Selangor digalakkan untuk memperluaskan dan meneroka bidang perniagaan mereka hingga ke pasaran Asia Tenggara.

Jumlah penduduk di Asia Tenggara yang besar iaitu 600 juta orang dilihat mempunyai potensi besar dalam mengembangkan aktiviti perniagaan ke rantau itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perniagaan mampu dikembangkan di kawasan itu berikutan pertumbuhan dan permintaan industri di Asia Tenggara yang memberangsangkan.

"Kerajaan negeri turut menyediakan ekosistem keusahawanan yang kukuh menerusi pelbagai program pembangunan dan pemberdayaan usahawan.

"Menyedari kepentingan ekosistem ini, segala keperluan usahawan di negeri ini ditambah baik dan diperkasa dari semasa ke semasa," katanya ketika berucap merasmikan Malam Anugerah Usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam, malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Exco Belia, Sukan dan Keusahawan Selangor Mohd Najwan Halimi.

Pada majlis tersebut seramai 12 usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menerima pengiktirafan dan penganugerahan atas pencapaian serta kecemerlangan mereka dalam bidang keusahawanan.

TETITIA YUSOFF