(FOTO ISTANA NEGARA)
TEMERLOH, 30 Julai- Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyambut baik usaha kerajaan memasyhurkan Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal bersempena nama baginda berdua.
Titah baginda, usaha ini merupakan satu anjakan paradigma yang positif terhadap memelihara alam sekitar dan hidupan liar di negeri Pahang.
Justeru, usaha bersepadu melibatkan semua pihak perlu diwujudkan bagi memelihara hidupan liar termasuk Harimau Malaya.
Seri Paduka Baginda bertitah, usaha daripada semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan perlu diwujudkan segera bagi memelihara ikon negara itu serta semua hidupan liar lain agar tidak terus pupus.
Baginda turut menyambut baik langkah kerajaan negeri yang mewartakan kawasan seluas 134,183 hektar tanah rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah secara berperingkat.
Baginda bertitah ketika berkenan bercemar duli pada Majlis Pemasyhuran Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal di Institut Biodiversiti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di Bukit Rengit, Lanchang, Temerloh, Pahang.
Turut mengiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mua'adzam Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.
Hadir sama ialah Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Belia dan Sukan,Hannah Yeoh; Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Indera Zulkifli Yaacob, dan Exco Kerajaan Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
Baginda turut menitahkan agar pihak kerajaan dapat melaksanakan satu usaha yang baik dalam melaksanakan dan meningkatkan pendekatan-pendekatan berkonsepkan ‘sustainable development approach’ atau pendekatan pembangunan mampan bukan sahaja untuk jangka masa pendeka tetapi juga bagi jangka masa panjang.
Baginda turut menitahkan agar Kerajaan Pahang dapat menghutankan dan menghijaukan lebih banyak kawasan daripada jumlah sedia ada sebanyak 57% kawasan hutan yang belum disentuh di negeri tersebut, selain mencadangkan agar Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dapat membuat perancangan jangka panjang melibatkan kawasan takungan air.
(FOTO ISTANA NEGARA)