KUALA LANGAT, 8 Jun - Tiga cadangan khusus dikemukakan dalam memastikan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus diperkasa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata ini termasuk mengadakan minggu TVET di peringkat sekolah bagi memberi pemahaman kepada murid, sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran yang lebih tinggi.
"Mewujudkan segmen khusus seperti tekno usahawan dan TVET tahfiz. Turut mengambil kira TVET khusus untuk Orang Asli, Orang Kurang Upaya (OKU), pelajar TVET kepada orang asal di Sabah dan Sarawak mesti diwujudkan dan TVET disasarkan juga kepada anak-anak di desa atau luar bandar.
"Disediakan juga pembiayaan tambahan bagi meningkatkan pembangunan kemahiran khususnya bagi bidang kemahiran bernilai tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari TVET Negara 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP), di sini.
Tambah Ahmad Zahid yang juga Pengerusi TVET, cadangan tersebut seiring dengan keperluan negara yang mahukan lebih banyak tenaga kerja mahir, memenuhi keperluan pekerjaan pada masa depan.
Sementara itu, Ahmad Zahid dalam sidang media kemudiannya memaklumkan Majlis TVET negara menyambut baik peruntukan tambahan RM200 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim.
Katanya, pembiayaan tersebut ditumpukan kepada beberapa bidang tertentu termasuklah kenderaan elektrik (EV), keselamatan siber serta Kecerdasan Buatan (AI).
Peruntukan akan disalurkan menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).