KUALA LUMPUR, 30 Januari – Komitmen Malaysia dan Jepun dalam usaha membangunkan semula Gaza bukan sahaja langkah yang baik, malah boleh menjadi contoh kepada negara lain, kata Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr. Anuar Ahmad.
Menurut beliau, kerjasama ini amat penting dalam memastikan keperluan asas seperti sekolah dan hospital dapat dibangunkan semula di Gaza.
"Sudah tentu, dengan kerjasama ini, kita bukan sahaja dapat membantu Gaza dalam memenuhi keperluan mereka, tetapi juga dapat membangunkannya dengan lebih baik, terutama dalam penyediaan kemudahan asas seperti sekolah dan hospital.
"Usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia dan Jepun ini bukan sahaja baik untuk dilaksanakan tetapi juga boleh menjadi contoh kepada negara-negara lain yang ingin bersama-sama membangunkan semula Gaza,"katanya ketika dihubungi Berita RTM hari ini.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar mendokong usaha murni ini demi memastikan pembangunan Gaza dapat direalisasikan dengan berkesan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan komitmen Malaysia dan Jepun dalam usaha membangunkan semula Gaza.
Kedua-dua negara bersepakat untuk membangunkan semula Gaza menerusi inisiatif Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) dengan menubuhkan dana khas bagi menyokong pembangunan semula wilayah terkesan.
Pada 18 Jan lalu, Anwar dilaporkan berkata pembangunan semula Gaza yang hampir musnah akibat serangan Israel sejak Oktober 2023, dijangka menelan kos lebih USD1 trilion.
Beliau berkata jumlah yang besar diperlukan kerana kemudahan seperti masjid, sekolah, hospital dan rumah telah musnah.