fb fb fb fb fb

Usaha diversifikasi pelaburan, tampan kesan tarif AS

Anwar Ibrahim/RTM

KUALA LUMPUR, 4 Februari- Kerajaan terus memperluas usaha meningkatkan kerjasama pelaburan dengan negara baharu bagi mengurangkan kebergantungan kepada Amerika Syarikat (AS) serta menampan kesan tarif yang dijangka dilaksanakan negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha itu melibatkan peningkatan kerjasama dengan negara anggota BRICS dan beberapa pasaran baharu seperti Mesir, Angola, Ethiopia, Algeria dan Libya.

"Saya percaya dengan memperkukuh strategi diversifikasi ini, kita dapat menampan kesan tarif, walaupun rundingan dengan Amerika Syarikat masih diteruskan secara aktif. Namun, kita tidak boleh hanya menunggu kerana kesan tarif itu boleh memberi impak negatif kepada negara.

"Sebagai contoh, peningkatan perdagangan dengan Mesir mencecah 53.6 peratus, Angola 59 peratus, Ethiopia 56 peratus, Algeria 27.9 peratus dan Libya 19.7 peratus," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng yang ingin mengetahui langkah kerajaan dalam menangani impak pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat.

Dalam masa sama, Perdana Menteri memaklumkan Malaysia tidak boleh bertindak terlalu pantas dalam memberi reaksi terhadap ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global termasuk perubahan dasar yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Berdasarkan dasar yang dipersetujui dalam ASEAN, Malaysia mengekalkan pendirian bebas dan berkecuali serta mengukuhkan jaringan dengan pelbagai negara.

Anwar berkata pendekatan itu dilaksanakan secara agresif dengan memperluas hubungan ke negara seperti Afrika Selatan, Ethiopia, Amerika Latin, Brazil dan Peru, selain memperkukuh kerjasama dengan China dan Rusia.

"Dengan jaringan ini, kita percaya ia dapat membuka ruang pelaburan baharu dan meningkatkan peluang eksport ke pasaran lain," katanya.

SITI AISHAH MD ISA