
PUTRAJAYA, 16 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam serangan ke atas Iran yang disifatkannya sebagai tindakan agresif yang didorong oleh Israel di Asia Barat dengan sokongan Amerika Syarikat.
- Konflik meragut nyawa orang awam dan menjejaskan kestabilan geopolitik, ekonomi global serta pasaran tenaga.
- Malaysia menggesa semua pihak menahan diri, kurangkan ketegangan dan memperbaharui usaha diplomasi serantau.
- Kerajaan meneliti implikasi konflik terhadap Malaysia melalui Mesyuarat Majlis Penasihat Ekonomi dan penglibatan forum antarabangsa.
Beliau berkata, konflik berkenaan bukan sahaja meragut nyawa orang awam, malah berisiko menjejaskan kestabilan geopolitik dan ekonomi global, termasuk pasaran tenaga dunia.
Tegasnya, Malaysia menggesa agar ketegangan dikurangkan melalui usaha diplomasi.
“Malaysia, seperti yang ditegaskan melalui pendirian dwipartisan Parlimen kita, telah mengambil pendirian berprinsip untuk mengutuk pencerobohan Israel.
“Pada masa yang sama menyeru agar semua pihak menahan diri, mengurangkan ketegangan serta memperbaharu usaha penglibatan diplomatik di seluruh rantau tersebut,” kata Perdana Menteri.
Menurut Datuk Seri Anwar, kerajaan turut meneliti implikasi konflik tersebut terhadap Malaysia menerusi perbincangan dalam mesyuarat Majlis Penasihat Ekonomi.
Beliau berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI bertajuk “Strategies for Malaysia and ASEAN in an Era of Global Instability” di sini hari ini bersama Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa Bersatu, Profesor Dr Jeffrey D. Sachs.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.