fb fb fb fb fb

Usah politikkan batu tunggul ikonik Bako- Abdul Karim

Batu tunggul ikonik Taman Negara Bako

KUCHING, 14 Februari- Batu tunggul ikonik di Taman Negara Bako yang dikenali sebagai ‘The Cobra Head Sea Stack’ yang runtuh akibat dipukul ombak kuat semalam tidak harus dipolitikkan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ini kerana perkara itu merupakan fenomena alam yang tidak boleh dielakkan.

“Saya baca terdapat komen oleh pihak tertentu yang mengatakan kerajaan tidak mengambil langkah untuk mengatasi perkara tersebut, takkanlah kita nak melawan ketentuan Tuhan.

“Tidak dinafikan rata-rata rakyat menyatakan rasa sedih apabila khazanah yang berusia lebih 100 tahun itu telah hilang buat selama-lamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas kenyataan Michael Kong Feng Nian iaitu Pembantu Khas kepada Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, yang mempersoalkan usaha diambil kerajaan bagi memelihara khazanah alam berharga itu.

Sementara itu, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook hari ini memaklumkan batu tunggul ikonik di Taman Negara Bako itu runtuh berkemungkinan besar disebabkan kejadian ombak besar.

Menurut SFC kejadian ombak besar baru-baru ini adalah kemuncak yang menyebabkan keruntuhan itu, susulan daripada hakisan yang berlaku sejak berjuta tahun di pantai Sarawak.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE