fb fb fb fb fb

Usah panik dengan peningkatan serangan siber - Teo

Teo menyantuni tetamu dan pengamal media pada Majlis Berbuka Puasa Ahli Parlimen Kulai di sini malam tadi/ BERNAMA

KULAI, 1 April - Rakyat dinasihatkan tidak perlu panik dengan peningkatan serangan siber yang berlaku setiap hari kerana kerajaan mempunyai beberapa agensi khususnya Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) yang sentiasa memantau isu berkenaan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata serangan siber menerusi pelbagai platform bukanlah perkara baharu terutamanya apabila sistem jaringan telekomunikasi digital semakin maju.

“Setakat ini, rakyat tidak perlu bimbang. Ya, memang betul perkara ini mengikut situasi antarabangsa khususnya melibatkan isu-isu sensitif dan panas. Disebabkan itu, kerajaan mewujudkan Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Siber.

“RUU ini bertujuan mempertahankan infrastruktur kritikal negara termasuk pusat data, hospital, sistem perbankan dan komunikasi. Semua ini merupakan aset keselamatan yang sangat penting buat negara,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Pejabat Ahli Parlimen Kulai di sini malam tadi.

Teo meminta masyarakat untuk terus kekal tenang selain memberi kepercayaan dan keyakinan kepada agensi keselamatan negara termasuk Kementerian Pertahanan dan Majlis Keselamatan Negara berhubung ancaman berkenaan.

Pada Sabtu lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata sistem pertahanan negara menerima kira-kira 3,000 serangan siber setiap hari khususnya selepas Malaysia menyatakan sokongan terhadap Palestin.

Dewan Rakyat pada Selasa lepas meluluskan RUU Keselamatan Siber 2024 bertujuan meningkatkan keselamatan siber negara menerusi pematuhan terhadap langkah, standard dan proses tertentu dalam pengurusan ancaman keselamatan siber.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo dilapor berkata menerusi RUU itu, terdapat 11 sektor yang ditakrifkan sebagai sektor Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) iaitu sektor kerajaan, perbankan dan kewangan, pengangkutan, pertahanan dan keselamatan negara serta maklumat, komunikasi dan digital.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI