Urbanisasi mampan kini keperluan, bukan lagi pilihan

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming/Foto RTM

AMPANG, 9 Jun – Urbanisasi mampan kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan wajib dalam memastikan pembangunan negara kekal seimbang dengan pemeliharaan alam sekitar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembangunan perumahan mesti utamakan kelestarian bandar sejajar dasar mengekalkan sekurang-kurangnya 51 peratus kawasan hijau negara.
  • KPKT melepasi sasaran penanaman 100 juta pokok dengan lebih 115 juta pokok ditanam setakat ini.
  • Kerajaan menyasarkan 18 loji jana tenaga daripada sisa menjelang 2040 dan menyediakan panel solar untuk semua PRR baharu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pembangunan perumahan perlu memberi keutamaan kepada kelestarian bandar sejajar dengan sasaran kerajaan mengekalkan sekurang-kurangnya 51 peratus kawasan hijau negara.

Menurut beliau, kadar urbanisasi Malaysia meningkat ketara daripada hanya 28 peratus pada tahun 1970 kepada 78 peratus ketika ini, dan dijangka mencecah 85 peratus menjelang tahun 2040.

“Kerajaan MADANI meletakkan kelestarian sebagai teras pembangunan negara, termasuk menetapkan dasar sekurang-kurangnya 51 peratus tanah negara mesti kekal diliputi hutan dan kawasan hijau secara berterusan,” katanya ketika merasmikan pelancaran projek pembangunan kediaman Botanik Point oleh Urban Hallmark Properties di Taman Ulu Kelang, di sini, hari ini.

Tambah beliau, projek Botanik Point wajar dijadikan penanda aras pembangunan masa depan kerana berjaya mengimbangi keperluan pembangunan bandar dengan pemeliharaan ekosistem semula jadi.

Dalam pada itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus mempergiat pelbagai inisiatif ke arah bandar mampan, termasuk kejayaan melepasi sasaran penanaman 100 juta pokok dengan lebih 115 juta pokok telah ditanam setakat ini.

Selain itu, kerajaan turut menyasarkan pembinaan 18 loji waste-to-energy menjelang 2040 bagi menyokong peralihan tenaga negara.

Pada masa sama, semua Projek Residensi Rakyat (PRR) baharu akan dilengkapi panel solar sebagai usaha memperluas manfaat pembangunan hijau kepada rakyat secara menyeluruh.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.