UPSR, PT3 bantu ukur keupayaan pelajar

Dr Anuar berkata sistem pendidikan memerlukan pentaksiran khas bagi menilai keupayaan pelajar.

KUALA LUMPUR, 10 Januari – Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) penting untuk mengukur keupayaan dan penguasaan pelajar bagi setiap mata pelajaran yang dipelajari.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dr Anuar sokong kajian semula keperluan mengembalikan UPSR dan PT3 dalam sistem pendidikan.
  • Pentaksiran khas diperlukan untuk menilai kemahiran membaca, menulis dan mengira sebelum ke peringkat seterusnya.
  • Pentaksiran berperanan mengekalkan motivasi luaran pelajar untuk berdisiplin dan tekun belajar.
  • MPPK harus jalankan kajian meluas dan format UPSR, PT3 dikemas kini selari keperluan semasa.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad menyambut baik dan menyokong usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengkaji semula keperluan mengembalikan UPSR dan PT3 dalam sistem pendidikan negara.

Menurut beliau, sistem pendidikan memerlukan pentaksiran khas dalam menilai keupayaan dan penguasaan pelajar untuk membaca, menulis dan mengira sebelum melangkah ke tahap pendidikan lebih tinggi.

“Usaha ini satu langkah yang tepat kerana membuktikan KPM mendengar pandangan masyarakat khususnya ibu bapa yang menggesa agar UPSR dan PT3 dilaksana semula selepas dimansuhkan pada tahun 2021 dan 2022.

“Kita tidak boleh menafikan kepentingan motivasi luaran yang menggalakkan pelajar untuk berdisiplin dan tekun belajar sehingga mampu menguasai setiap mata pelajaran yang diajar oleh guru-guru dalam bilik darjah. Maka kita memerlukan satu bentuk pentaksiran yang bukan hanya mengukur keupayaan dan penguasaan para pelajar tetapi juga sebagai satu kaedah mengekalkan motivasi luaran mereka secara dengan cara yang lebih positif,” katanya.

Mengulas lanjut Dr Anuar berkata kajian yang bakal dilaksana Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) itu haruslah lebih meluas dengan mengambil kira pandangan ibu bapa, guru dan pelajar.

Selain itu, UPSR dan PT3 juga harus dikembalikan dengan rombakan dan format terkini selari keperluan sistem pendidikan nasional.