
TANJONG MALIM, 13 April – Usaha memperkukuh pembangunan sumber manusia ketenteraan dilaksana Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Akademi Tentera Udara (ATU) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
- Fokus pada pendidikan, latihan pedagogi dan meningkatkan kebolehpasaran anggota tentera.
- UPSI menawarkan kepakaran, termasuk kursus Bahasa Etnik dan pengajar dari komuniti Orang Asli.
- Pelaksanaan APEL membolehkan pengalaman kerja ditukar kepada kredit akademik untuk diploma atau ijazah.
- Cadangan latihan keusahawanan digital bantu anggota bersedia menghadapi kehidupan selepas tamat perkhidmatan.
Fokus tertumpu kepada aspek pendidikan, latihan pedagogi serta kebolehpasaran anggota.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pihak universiti sedia menawarkan kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan etnik dan latihan profesional.
“UPSI merupakan satu-satunya universiti di Malaysia yang menawarkan kursus Bahasa Etnik seperti Bahasa Semai, selain memiliki tenaga pengajar daripada komuniti Orang Asli sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi kunjungan pihak pengurusan ATU di UPSI di sini.
Mengenai usaha TUDM merekrut belia Orang Asli dalam bidang teknikal atau kejuruteraan, UPSI berupaya membantu melalui penyediaan latihan asas serta kursus khas yang bersesuaian.
Jelasnya lagi, kerjasama itu turut membuka ruang kepada pelaksanaan program Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL), yang membolehkan anggota TUDM menukarkan pengalaman kerja kepada kelayakan akademik.
“Anggota yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun boleh menukarkan pengalaman tersebut kepada kredit akademik bagi memperoleh diploma atau ijazah,” katanya.
UPSI turut mencadangkan pelaksanaan latihan keusahawanan digital bagi membantu anggota tentera membuat persediaan awal menghadapi kehidupan selepas tamat perkhidmatan.
Sementara itu, Komandan ATU TUDM, Nurul Amir Othman menyifatkan kunjungan tersebut merupakan langkah awal ke arah membina kerjasama dua hala yang lebih menyeluruh antara ATU dan UPSI pada masa hadapan.
“Ia penting dalam melahirkan modal insan berkualiti, berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran masa depan negara,” katanya.