TANJUNG MALIM, 22 Januari - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkenalkan inisiatif BITARA UPSI 2.0 dalam usaha menjadi universiti peneraju kebitaraan dalam pendidikan di Malaysia dan peringkat global.
Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata,inisiatif yang akan dilaksanakan setiap hari itu merangkumi lima teras utama iaitu Bakat Unggul, Inovasi & Penyelidikan, Transformasi Teknologi, Adab, Akhlak & Akademik, Revolusi Ekosistem, dan Adaptasi Global, adalah usaha UPSI untuk memantapkan kecemerlangan pendidikan, penyelidikan, dan pembangunan modal insan yang berdaya saing.
"Bagi memastikan kelestarian universiti, Pelan Strategik UPSI 2026 hingga 2030 akan menjadi peta hala tuju kami, yang akan memacu UPSI ke arah kecemerlangan akademik dan penyelidikan yang lebih tinggi, selaras dengan perkembangan pendidikan global." kata Dr. Md Amin dalam Majlis Aspirasi UPSI 2025 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI, di sini.
Dalam aspek inovasi dan penyelidikan, UPSI akan memperkenalkan beberapa program strategik bagi memacu budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan warga akademik.
"Melalui penganjuran program UPSI EDU-Innovate 2025, Festival PULARA, Agenda Penyelidikan Inklusiviti (IRA) dikuasakan oleh Centre For Inclusive Research On Community And Disability (CIRCLE) serta penerbitan buku berimpak tinggi, kita akan menggalakkan penghasilan idea inovatif dalam bidang pendidikan dan seni budaya," katanya.
Menurut beliau, UPSI akan terus komited untuk memastikan bahawa penyelidikan yang dijalankan tidak hanya memberi manfaat kepada universiti, tetapi juga kepada komuniti dan negara secara keseluruhannya.
Sementara itu, dalam usaha memperkukuh Transformasi Teknologi, UPSI memperkenalkan pelan pendigitalan yang komprehensif melalui UPSI Smart Campus dan penubuhan Unit Data Analitik.
"Pelaksanaan inisiatif ini bertujuan mempertingkatkan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran, sekali gus menyediakan persekitaran yang lebih efisien dan mesra komuniti, " katanya.
Tambah beliau, dalam membentuk sahsiah dan karakter pelajar, aspek Adab, Akhlak dan Akademik dijadikan teras penting dalam inisiatif BITARA UPSI 2.0. yang diperkenalkan itu.
"Melalui program Bina Insan Bitara dan Sistem Pendidikan Fleksibel, kami berusaha melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga berakhlak dan bersedia untuk menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks." katanya lagi.
UPSI, katanya, tidak hanya berfokus kepada kecemerlangan akademik semata, tetapi kami mahu memastikan bahawa setiap graduan kami keluar dengan membawa nilai-nilai murni dan etika yang tinggi dalam setiap aspek kehidupan mereka.
Bagi memantapkan lagi Revolusi Ekosistem, UPSI turut melancarkan beberapa projek besar, termasuk Green, Sustainable & Smart Campus, yang akan memperkenalkan teknologi mesra alam dan pintar.
"Pembangunan ekosistem kampus yang mampan adalah salah satu komitmen kami dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selesa untuk semua.
“Kami yakin dengan kemudahan seperti Makerspace@UPSI, 10 buah makmal Artificial intelligence (AI) dan Pusat Kesihatan Baharu, warga kampus akan lebih produktif dan sejahtera.
"Kami mahu menjadikan UPSI sebagai sebuah universiti yang bukan hanya unggul dalam pendidikan, tetapi juga dalam kesejahteraan dan kelestarian alam sekitar," katanya.
Menurut Dr Md Amin, inisiatif seperti Dual Degree Antarabangsa, Geran Penyelidikan Antarabangsa, dan Penubuhan Akademi Bahasa Antarabangsa akan membuka peluang kepada pelajar dan kakitangan UPSI untuk bekerjasama dengan institusi luar negara.
"Dengan kerjasama antarabangsa dan pengiktirafan global, UPSI akan menjadi pusat kecemerlangan yang mampu melahirkan graduan yang cemerlang dan relevan di peringkat global." katanya lagi.
Beliau menegaskan UPSI bertekad berada di hadapan dalam setiap aspek, menyediakan pendidikan terbaik untuk negara dan dunia.