TANJUNG MALIM, 8 Januari- Tabung Ihya' Ramadan 2025 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dilancarkan hari ini.
Ia merupakan platform buat warga UPSI menyumbang kepada masyarakat terutama golongan memerlukan.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Amin Md Taff menerusi kenyataan berkata, pelancaran tabung itu juga mampu menyokong program-program sepanjang bulan Ramadan seperti majlis iftar, tarawih dan pengagihan bantuan makanan.
Jelas beliau, setiap sumbangan yang diberi bukan sahaja meringankan beban golongan memerlukan, malah menjadi saham akhirat buat pemberi.
Sementara itu, Pengarah Pusat Islam UPSI, Muhammad Tarmizi Abdul Rahman berkata, pelancaran tabung itu berupaya menyemai nilai ihsan dan kepedulian terhadap golongan kurang bernasib baik.
Tabung Ihya' Ramadan 2025 akan dibuka sepanjang bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan.
Sumbangan boleh dibuat secara fizikal di Masjid Al-Mursyidin UPSI atau secara dalam talian melalui platform rasmi UPSI.