fb fb fb fb fb

UPSI jadi tumpuan program berskala besar, destinasi pelancongan unik

Bangunan Suluh Budiman berunsur seni bina Gotic dibina pada tahun 1920 zaman Sultan Idris Training College (SITC) / Foto UPSI

TANJONG MALIM, 13 November – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kini menjadi tumpuan pelbagai agensi kerajaan dan korporat untuk melaksanakan program berskala besar.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata UPSI telah berkembang pesat berbanding lebih 10 tahun lalu dengan menyediakan kemudahan yang bukan sahaja untuk warganya tetapi juga masyarakat, sejajar dengan konsep Universiti Untuk Komuniti.

Prasarana tersebut mendapat sambutan meluas daripada agensi untuk menjayakan program seperti sukan, kebudayaan, seminar dan persidangan bertaraf nasional serta antarabangsa.

"Terbaharu, Dewan Tuanku Canselor (DTC) dipilih oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) untuk pementasan teater tradisional Mak Yong dengan kehadiran lebih 5,000 penonton," katanya menerusi kenyataan.

Md Amin turut mengalu-alukan agensi lain menggunakan DTC yang mampu menampung 5,000 penonton dan dilengkapi dengan kemudahan teknikal bertaraf antarabangsa.

Tambah Md Amin, UPSI turut memperkenalkan kemudahan seperti UPSI Super Bowl 24 lorong, yang menjadi daya tarikan kepada masyarakat sekitar dan luar Tanjong Malim.

"Bagi penginapan, UPSI menawarkan Scholars’ Suite yang berlatarbelakangkan Banjaran Titiwangsa untuk keselesaan pengunjung," katanya.

1311 UPSI BERTARAF DUNIA 2UPSI Super Bowl menjadi tumpuan orang ramai sejak dibuka Oktober lalu / Foto UPSI

Universiti itu turut memiliki kolam renang bertaraf olimpik, UPSI Sports City, dan UPSI Adventure Park di Kampus Sultan Azlan Shah yang digunakan untuk kursus pembinaan pasukan.

Pakej kursus termasuk aktiviti arung jeram di Muallim dan Batang Padang, serta sewaan ATV. Kawasan perkhemahan “glamping” juga sedang dibangunkan dan dijangka siap awal tahun depan.

UPSI merangkumi Kampus Sultan Azlan Shah seluas 850 ekar di Proton City dan Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di Tanjong Malim seluas 85 ekar, yang memiliki bangunan warisan seperti Bangunan Suluh Budiman, kini Muzium Pendidikan Nasional (MPN).

Lokasi tersebut pernah digunakan untuk penggambaran filem Mengonjang Makhluk Muzium arahan Allahyarham Mamat Khalid.

"UPSI menawarkan pengalaman unik dan menjadi destinasi pelancongan utama di daerah Muallim serta menarik kunjungan berulang," kata Md Amin.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN