fb fb fb fb fb

UPM tubuh Pusat Satelit Super China (CSSC) pertama di China

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail (tengah kanan,) bersama Dekan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), UPM, Prof. Madya Dr. Bany Ariffin Amin Noordin (Tengah kiri) bersama delegasi Pingtan Institute of Xiamen University, China di Pusat Satelit Super China (CSSC) UPM-XMUPT/Foto UPM

KUALA LUMPUR, 15 Oktober -Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuhkan kedudukan dalam kerjasama akademik antarabangsa dengan menubuhkan Pusat Satelit Super China (CSSC) UPM-XMUPT, pertama di China.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail berkata, kerjasama dijalinkan bersama Pingtan Institute of Xiamen University sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa penyelidikan dan pendidikan antara Malaysia-China.

"Inisiatif ini juga dapat memupuk pertukaran pengetahuan serta kepakaran selain membuka ruang kepada aktiviti mobiliti pelajar dan staf secara timbal balas bersama XUMPT.

“Penubuhan pejabat satelit UPM di China yang pertama ini menjadi simbol ikatan dua negara bagi memudah cara aktiviti akademik secara pesisir, penyelidikan kolaboratif, pertukaran budaya, pemindahan teknologi, advokasi dasar dan program mobiliti pelajar,’’ katanya menerusi kenyataan media.

Sebelum ini, UPM membuka kampus satelitnya di Jepun, memperkukuh hubungan akademik dan persahabatan antara Malaysia dengan negara-negara serantau.

Selain itu, ia turut membuka ruang kepada kerjasama penyelidikan, pertukaran budaya, dan pemindahan teknologi.

Langkah ini turut menyokong usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global menjelang 2025.

GRACE AISYAH KEDAYAN