SERDANG, 10 Januari- Universiti Putra Malaysia (UPM) jalin kerjasama dengan QingDao QingChunXueZi Education Technology Co. Ltd bagi meningkatkan persediaan pelajar lanjut pengajian di Malaysia baru-baru ini.
Jalinan kerjasama melalui perjanjian melibatkan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) dan Sekolah Pengajian Ekonomi (SPE) UPM itu juga bagi menyediakan pelajar antarabangsa dari China untuk menyesuaikan diri lebih awal dengan persekitaran pembelajaran di Malaysia, sekali gus memperluaskan pengaruh dan kerjasama universiti di peringkat global.
Dekan FBMK Profesor Madya Dr. Hazlina Abdul Halim berkata, kerjasama tersebut penting bagi mengatasi masalah canggung budaya yang dialami pelajar dari China, dengan membuka peluang kepada mereka memahami serta menerokai persekitaran termasuk kaedah pengajaran dan pembelajaran di UPM.
"Pelajar antarabangsa yang mengikuti program ini akan dapat menyesuaikan diri dengan budaya pembelajaran di Malaysia, sekaligus memudahkan peralihan mereka ke alam pendidikan tinggi dalam meningkatkan kemahiran bahasa dan penyesuaian budaya,
“Program ini akan memberi peluang kepada pelajar untuk menguasai kemahiran bahasa dan memahami budaya di Malaysia dengan adanya bimbingan akan mampu membantu pelajar mencapai kecemerlangan dalam akademik dan sahsiah peribadi," kata Dr. Hazlina.
Kerjasama berkenaan selaras dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 untuk melahirkan graduan berdaya tahan, mendepani cabaran mendatang serta sebagai universiti terkemuka menjadi rujukan diperingkat antarabangsa.