Upacara di makam Ataturk protokol rasmi lawatan ke Turkiye – PM

Datuk Seri Anwar menegaskan upacara itu tidak membawa sebarang mesej politik walaupun beliau tidak sependapat dengan beberapa dasar Ataturk. Foto BERNAMA

ISTANBUL, 9 Januari – Upacara meletakkan kalungan bunga di makam pengasas Turkiye, Mustafa Kemal Ataturk, merupakan protokol rasmi yang perlu dipatuhi semua ketua negara semasa lawatan rasmi ke negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Upacara meletakkan kalungan bunga di makam Ataturk adalah protokol rasmi lawatan negara ke Turkiye.
  • Upacara itu bukan pilihan peribadi atau gambaran ideologi pemimpin yang hadir.
  • Amalan diplomatik ini telah lama diamalkan dan diikuti oleh ketua negara termasuk pemimpin Malaysia sebelum ini.
  • Orang ramai dinasihatkan jangan cepat menghukum tanpa memahami latar belakang sejarah dan protokol antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, upacara berkenaan bukan bersifat pilihan peribadi atau mencerminkan pendirian ideologi mana-mana pemimpin, sebaliknya merupakan keperluan diplomatik yang telah lama diamalkan kerajaan Turkiye.

“Semua ketua negara yang mengadakan lawatan rasmi dikehendaki melaksanakan upacara tersebut. Sama ada setuju atau tidak, itulah rangkaian program rasmi yang telah ditetapkan, tanpa mengira parti mana yang memerintah di Turkiye,” katanya.

Menurut Datuk Seri Anwar, amalan itu turut dilaksanakan oleh semua Perdana Menteri Malaysia yang pernah mengadakan lawatan rasmi ke negara berkenaan sebelum ini.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat penilaian secara tergesa-gesa atau menghukum tanpa memahami latar belakang sejarah serta amalan diplomatik antarabangsa yang diamalkan oleh sesebuah negara.